Followers

Saturday, August 30, 2014

Hishamuddin nafi penghormatan mangsa Lahad Datu tak sebanding MH17



Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata sumbangan kepada keluarga mangsa terkorban dalam insiden Lahad Datu jauh lebih besar daripada sumbangan kepada keluarga mangsa MH370 dan MH17.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata sumbangan kepada keluarga mangsa terkorban dalam insiden Lahad Datu jauh lebih besar daripada sumbangan kepada keluarga mangsa MH370 dan MH17.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya kerajaan tidak memberi penghormatan seharusnya kepada anggota keselamatan yang terkorban dalam insiden pencerobohan Lahad Datu tahun lepas sebanding dengan penghormatan mangsa MH17.

Sebaliknya, beliau berkata sumbangan kepada keluarga mangsa terkorban dalam insiden Lahad Datu jauh lebih besar daripada sumbangan kepada keluarga mangsa MH370 dan MH17.

"Apa yang kita (kerajaan) lakukan, kita tidak mahu uar-uarkan kepada dunia, tetapi banyak. Satu hari nanti, keluarga (mangsa) akan rasa terpanggil untuk menyatakan apa yang kerajaan sudah lakukan," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Pasir Gudang hari ini.

Beliau berkata antara sumbangan yang diberi adalah pingat, kenaikan pangkat, perumahan dan pendidikan anak mangsa.

Hishammuddin berkata maklum balas daripada keluarga mangsa insiden Lahad Datu mahupun keluarga mangsa MH17, rata-rata menyatakan mereka berpuas hati dengan penghormatan yang diberikan.

"Jadi tuduhan-tuduhan itu, saya harap berpada-pada sebab sekiranya keluarga mangsa sendiri yang menyatakan apa yang sudah kita (kerajaan) lakukan, malu mereka (pembangkang) nanti.

"Mereka yang dahulu pun hanya melontarkan tuduhan-tuduhan liar, sekarang pula hendak jadi jaguh walhal kita sudah bela mereka (mangsa Lahad Datu)," kata Hishammuddin, yang juga Naib Presiden Umno.

Dalam insiden pencerobohan Lahad Datu pada Februari tahun lepas, sepuluh wira negara terkorban dalam Ops Daulat ketika mempertahankan negara daripada pencerobohan pengganas Sulu, termasuk serangan hendap di Tanduo, Lahad Datu dan Simunul, Semporna.

Sementara itu, senarai nama kumpulan ketiga jenazah mangsa MH17 akan dikeluarkan Isnin ini selepas Hishammuddin mempengerusikan mesyuarat koordinasi yang melibatkan 10 kementerian.

Beliau berkata beberapa pengesahan harus dibuat dengan jawatankuasa terlibat termasuk permintaan pihak keluarga yang tidak mahu terlibat dalam istiadat penghormatan.

Hishammuddin berkata kumpulan ketiga kali ini lebih besar daripada kumpulan kedua yang akan diberi penghormatan sama dan bakal disiarkan secara langsung menerusi televisyen.

"Semua ini bukan mudah kita hendak uruskannya. Itu sebab bila ada pihak yang cuba mempertikaikannya dan cuba buat perbandingan dengan insiden-insiden lain khususnya di Lahad Datu, saya yakin bahawa keluarga, anggota Angkatan Tentera Malaysia, mereka yang berada di syarikat Malaysia Airlines sendiri, maklum balas yang kita terima rata-rata cukup menghargai penghormatan yang kita berikan.

"Cuma ada pihak yang tertentu menangguk di air yang keruh, apatah lagi hendak menangguk di air yang jernih dengan keadaan sebegini rupa. Ini amat menyedihkan tetapi kita akan terus lakukan apa yang kita mampu," kata beliau.

Pada Khamis, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata istiadat penghormatan jenazah mangsa tragedi pesawat MH17 di Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 2 September dijangka melibatkan sembilan jenazah, termasuk dua warga asing.

Sehingga kini, 24 jenazah mangsa MH17 dibawa pulang ke tanah air.

Pada kejadian 17 Julai itu, pesawat Boeing 777-200 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai.

Sejumlah 43 daripada mereka adalah warga Malaysia. – Bernama, 30 Ogos, 2014.


See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/hishamuddin-nafi-penghormatan-mangsa-lahad-datu-tak-sebanding-mh17#sthash.kSi6fhZX.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.