Followers

Saturday, May 30, 2015

Mat Sabu Sindir Hadi Konon Hebat Dan Mahu Bawa Pas Keluar Pakatan



Krisis dua pucuk pimpinan utama PAS dilihat semakin meruncing menjelang pemilihan parti itu awal Jun ini, dengan Timbalan Presiden Mohamad Sabu semakin lantang mengkritik kepimpinan presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu yang akan mempertahankan jawatannya pada Muktamar Tahunan PAS 2015, mempertikaikan kegagalan Hadi menawan Terengganu, selain menyindir tindakan presiden PAS itu yang mahu keluar Pakatan Rakyat (PR).


"Pidatonya begitu hebat, ceramahnya, kuliahnya di Rusila , kereta 'parking' berbatu, jadi macam pekan hari bila Tok Guru Abdul Hadi beri kuliah, tapi bila pilihan raya umum (tetap) tak boleh ambil Terengganu (daripada Barisan Nasional (BN)).

"(Sehinggalah pada) tahun 1999 kita berpakat dengan PKR, dapatlah kita memerintah Terengganu. Ertinya kita ambil Terengganu pun melalui pakatan. Bagaimana nak kuasa? Kita kena berpakat," katanya pada ceramah isu semasa PAS malam tadi.

Turut hadir pada ceramah itu ialah Ahmad Awang yang akan menentang Abdul Hadi bagi jawatan presiden pada pemilihan PAS nanti.

Hadi sebelum ini dilaporkan berkata beliau akan membawa PAS keluar daripada PR jika DAP mencetuskan provokasi ke atas parti itu selepas tidak bersetuju dengan usaha parti Islam itu untuk melaksanakan hudud di Kelantan.

Ramai pemerhati politik melihat pemilihan PAS pada muktamar tahunan pada 4 hingga 6 Jun itu nanti sebagai pertembungan antara golongan ulama dan bukan ulama atau "Erdogan".

Mohamad yang dilihat pemerhati politik sebagai pro kepada PR, turut memberikan contoh senario di Kelantan sekitar 80-an ketika Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memimpin PAS Kelantan, tapi gagal memerintah negeri itu kerana tidak bergabung dengan parti lain.

"Bila lahir parti Semangat 46. PAS berpakat dengan Semangat 46 (untuk) lawan Umno dan kita menang semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen (di Kelantan).

"Ertinya sehebat-hebat Nik Aziz, dalam hal pilihan raya umum, (tetap) tak boleh ambil Kelantan (dari BN) melainkan bila tahaluf (bekerjasama) dengan Semangat 46. Ertinya dalam politik ini kita pakat, undi banyak, kita berpecah, undi kurang," katanya.

Sementara itu, Ahmad ketika ditemui pemberita berkata beliau akan terus mengekalkan PAS dalam PR jika dipilih menerajui parti itu nanti. – Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.