Followers

Saturday, October 31, 2015

Kenali orang di belakang peningkatan integriti SPRM OLEH NABIHAH HAMID


Datuk Seri Zakaria Jaffar yang bersara sebagai timbalan ketua pesuruhjaya SPRM berkata beliau hidup bersederhana dan berbelanja dalam kemampuan, serta menanggung pendidikan 11 anaknya tanpa pinjaman. –

Datuk Seri Zakaria Jaffar yang bersara sebagai timbalan ketua pesuruhjaya SPRM berkata beliau hidup bersederhana dan berbelanja dalam kemampuan, serta menanggung pendidikan 11 anaknya tanpa pinjaman. 
 
Susulan banyak kes berprofil tinggi yang dikendalikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam mencegah gejala rasuah, imej dan kepercayaan masyarakat terhadap badan itu meningkat naik.

Walaupun tidak berapa lama dahulu dipandang negatif berikutan kematian bekas pembantu kepada Exco Selangor Teoh Beng Hock daripada DAP, banyak kejadian "unik" melibatkan SPRM, terutama apabila menyiasat 1Malaysian Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, menambahkan simpati rakyat terhadap suruhanjaya itu.

Bekas timbalan ketua pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Seri Zakaria Jaffar, yang bersara baru-baru ini, merupakan antara tulang belakang kepada meningkatnya integriti suruhanjaya itu di kalangan rakyat Malaysia.

Dalam ucapan sempena persaraannya yang mendapat tempat di portal-portal berita, Zakaria mendedahkan individu paling berkuasa di Malaysia sedang disiasat berhubung bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd dan derma RM2.6 bilion dalam akaun peribadi perdana menteri.

Zakaria berkata, untuk berdiri teguh menangani rasuah, seseorang itu perlu prinsip yang kuat.

Berpengalaman lebih 20 tahun dalam SPRM yang dahulunya dikenali sebagai Badan Pencegahan Rasuah, Zakaria menegaskan prinsip hidupnya dalam menangani rasuah adalah tidak mengira pangkat dan darjat.

Katanya, musuh utama SPRM ialah pengamal rasuah kerana gejala itu bukan sahaja menghancurkan masyarakat tetapi memberi kesan buruk kepada negara.

"Boleh lihat dalam video di Youtube, saya bercakap sewaktu 2013 kepada pegawai SPRM apa peranan kita, bagaimana tindakan kita untuk cegah rasuah.

"Saya kata sesiapa yang melakukan rasuah, itulah musuh kita, kita tidak ada musuh lain. Bukan parti, bukan jawatan, bukan bangsa.

"Dia keluarga kita ke, dia ahli politik ke, dia perdana menteri ke, datang sahaja aduan mengenai rasuah, itulah tanggungjawab kita untuk menjalankan siasatan," katanya dalam wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insider baru-baru ini.

Anak kelahiran Kelantan yang bersara secara rasmi 12 Oktober lalu itu turut menyeru masyarakat sentiasa bersedia bekerjasama menjadi pemberi maklumat rasuah dan memahami tugas berat SPRM.

Datuk Seri Zakaria Jaffar memberi lambaian terakhir ketika majlis persaraannya. Beliau gembira masyarakat semakin yakin dgn SPRM sekarang, berbanding ketika ia ditubuhkan.

Datuk Seri Zakaria Jaffar memberi lambaian terakhir ketika majlis persaraannya. Beliau gembira masyarakat semakin yakin dgn SPRM sekarang, berbanding ketika ia ditubuhkan.

"Ada satu masalah masyarakat yang tidak memahami proses kerja SPRM. Kita ada pelbagai proses, bila kita dah buat siasatan, bukan kerja kita untuk mendakwa. Pendakwaan dilaksanakan badan undang-undang iaitu timbalan pendakwa raya dan proses terakhir di mahkamah.

"Masyarakat perlu bekerjasama, kalau tak jaga masalah gejala rasuah, negara boleh runtuh bila-bila masa," katanya yang mengakui melalui pelbagai pengalaman pahit manis sewaktu berada dalam SPRM.

Keyakinan masyarakat meningkat

Meskipun begitu, beliau gembira dengan keyakinan rakyat terhadap badan itu meningkat dari 39% pada 2009 kepada 68% pada 2014.

"(Sebelum ini) kita hendak tahu tahap kepercayaan masyarakat, maka kita buat kajian dan waktu itu hanya 39% keyakinan, terkejut besar kami.

"Tetapi ia meningkat pada 68% dan sasaran keyakinan 70% pada tahun 2015," kata Zakaria.

"Kalau kita ambil sejarah terdekat pada 2008, sewaktu pilihan raya ke-12, kerajaan dapat majoriti mudah dan banyak isu rasuah dibangkitkan. Bahkan, SPRM dikatakan tidak telus dan tidak bebas.

"Kita bentangkan solusi, akhirnya kerajaan buat keputusan tukarkan kami kepada suruhanjaya," kata Zakaria yang memiliki kelulusan Sarjana Muda Perakaunan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Perubahan melibatkan Akta SPRM katanya, membawa kesan besar termasuk melibatkan 5 badan pengawal dalam agensi itu sendiri.

Hidup bersederhana tanpa hutang, pinjaman

Dalam pada itu, bapa kepada 11 orang anak itu turut berkongsikan kisah hidupnya terutamanya dari segi menguruskan kewangan.

Kehidupannya yang amat bersederhana memberikan pulangan setimpal dengan usaha, terutamanya mampu memiliki rumah tanpa membuat sebarang pinjaman.

"Saya ini orang susah, bapa kerja sebagai petani. Bapa saya sudah terapkan sikap bersederhana dan tidak berhutang sejak kecil lagi. Kita belanja ikut kemampuan.

"Rumah saya ini, saya beli tanah dengan harga RM40,000 wang yang saya simpan dan untuk membina rumah ini dengan kos RM80,000 saya ambil masa 10 tahun.

"Saya buat sikit-sikit. Ubahsuai rumah ikut kemampuan," katanya, dan menambah tidak pernah menggunakan kad kredit kerana ia hanya memberi keburukan.

“Belanja makan luar pun tiada. Saya makan hanya di rumah," kata Zakaria yang turut menasihatkan anak muda agar dapat menguruskan kewangan dengan bijak.

Untuk hidup berkat katanya, keutamaan perlu diberikan kepada ibu bapa.

"Berilah wang belanja RM10 sekalipun, itu tanggungjawab kita. Kita kena percaya keberkatan rezeki Allah beri.”

Untuk perbelanjaan anak-anak pula katanya, ibu bapa digalakkan mencarum insurans pendidikan dan membuka akaun tabung haji untuk simpanan yang konsisten.

"Percayalah, walaupun simpan sedikit, hasilnya kita akan nampak," tambahnya, yang turut memberitahu kesemua 11 anaknya yang memasuki universiti ditanggung sepenuhnya dan tidak membuat sebarang pinjaman pendidikan. – 31 Oktober, 2015.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.