Followers

Saturday, October 31, 2015

Majlis Fatwa Kaji Penggunaan Vape



Majlis Fatwa Kebangsaan sedang mengkaji penggunaan rokok elektronik atau vape dari pelbagai aspek sebelum memutuskan mengenai hukum penggunaannya kepada umat Islam.

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata Felo Penyelidik Majlis Fatwa Kebangsaan bersama pakar kesihatan, ekonomi dan alam sekitar sedang menjalankan kajian mengenainya.

"Hasil penyelidikan kemudiannya akan dibentangkan kepada ahli jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan dan mufti setiap negeri, barulah satu keputusan akan diambil mengenainya," katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai keputusan Kabinet hari ini yang tidak mengharamkan penggunaan rokok elektronik.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor sebagai berkata Kabinet memutuskan perkara itu.

Abdul Shukor berkata, keputusan penggunaan vape sama ada haram atau sebaliknya hanya akan diputuskan selepas beberapa proses kajian dilakukan.

"Ada beberapa proses yang perlu dilalui terlebih dulu. Apabila selesai, keputusannya kita akan uar-uarkan kepada masyarakat.

"Rokok dan shisa sebelum ini sudah diwartakan sebagai haram penggunaannya kerana kandungannya berupa tembakau yang jelas memudaratkan kesihatan,," katanya.

Sementara itu Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam dalam satu kenyataan hari ini berkata Kabinet mengenal pasti keperluan untuk mengadakan lebih banyak pendidikan kesihatan awam mengenai kesan pengambilan vape dan peraturan lebih ketat mengenai penggunaannya.

"Kementerian Kesihatan akan segera melaksanakan kedua-dua langkah itu," katanya dan menambah kejayaan kepada langkah tersebut dan kewujudan bukit seterusnya akan menentukan sama ada terdapat keperluan untuk melarang penggunaan vape di masa depan.

Dr Subramaniam berkata budaya mengguna vape di Malaysia dibincang secara menyeluruh oleh Kabinet yang kemudian mengambil kira kesan menghisap rokok dan rokok elektronik.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.